Awang Adi Aismat bin Haji Lamat dan Awang Md Hajib Sarhan bin Harkani adalah salah satu peserta Akademi Sahur Asia 2017 Indosiar wakil dari Negara Brunei Darussalam yang mengirim enam peserta pertama untuk mewakili negara bagi program Aksi Asia. Dalam Akademi Sahur Indonesia tingkat Asia yang akan disiarkan di TV Indosiar sepanjang bulan Ramadan ini, enam peserta dari Brunei merupakan penuntut-penuntut dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Rombongan diketuai oleh Ketua Penyelaras dari Octove Company, Affizan Suhaili yang terdiri dari Awang Mohammad Rif'at Atiyah bin Haji Anwari, Awang Md Khairul Wafiy bin Khairil Anuar, Dayang Siti Julaiha binti Puasa, Awang Md Fuad bin Matahir, Awang Adi Aismat bin Haji Lamat dan Awang Md Hajib Sarhan bin Harkani. AKSI Asia merupakan rancangan bagi mencari daie yang berkebolehan dalam menyampaikan dakwah dengan baik dan berilmu. Di samping itu juga, program ini adalah salah satu platform untuk para belia mengasah bakat mereka terutama sekali di dalam bidang menyampaikan dakwah Islam.
Rancangan ini akan menampilkan empat buah negara iaitu negara tuan rumah, Brunei Darussalam, Malaysia dan Republik Singapura. Di samping itu juga, Brunei akan menghantar dua juri yang akan memberikan komen dan penilaian mereka berdasarkan persembahan peserta itu nanti iaitu pegawai-pegawai dari Pusat Da'wah Islamiah, Ustaz Isham Ismail dan Ustaz Hanafi bin Haji Zaini. Para peserta berkenaan telah dipilih melalui uji bakat yang telah dijalankan pada 12 Mei lalu dengan berdasarkan cara pengisian dan penyampaian mereka.
Ketika ditemui oleh Pelita Brunei, Awang Mohammad Rif'at Atiyah menjelaskan, para peserta membuat persediaan dari seminggu yang lalu dari segi bacaan dan pengisian mereka dengan merujuk kepada ustaz-ustaz tempatan bagi dakwah yang akan mereka sampaikan nanti di sana. Menurutnya, mereka akan menyampaikan dakwah selama lima minit dan dalam masa lima minit itu seharusnya diisi dengan pengisian yang padat. Beliau menjelaskan, mereka akan sentiasa memegang falsafah Melayu Islam Beraja apabila berada di sana nanti di samping mengharumkan dan menjaga nama Brunei Darussalam serta berharap akan dapat menyampaikan dakwah yang boleh difahami dan diterima oleh orang ramai.