Biodata Sybil Kathigasu - Malayan Eurasian Nurse

Biografi Profil Biodata Sybil Kathigasu - Malayan Eurasian NurseSybil Kathigasu (lahir 1899 - 12 Jun 1948) merupakan pejuang yang menyelamatkan ramai nyawa khususnya beratus-ratus kaum Cina semasa Pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Masyarakat Cina di Malaysia menganggap beliau seorang yang berhati mulia. Jalan utama di Ipoh meletakkan nama beliau. Kerajaan British juga memberi Pingat King George di atas jasanya. Beliau mempunyai 4 orang anak dengan Dr. Abdon Clement Kathigasu: 1. William Pillay (25 Oktober 1918)- anak angkat 2. Michael Kathigasu (26 Ogos 1919)- meninggal dunia setelah hanya 19 jam dilahirkan 3. Olga Kathigasu (26 Februari 1921) 4. Dawn Kathigasu (21 September 1936).

Sybil Kathigasu dilahirkan sebagai Sybil Medan Daly pada 3 September 1899 di Medan, Sumatera, Indonesia kepada Joseph Daly, seorang peladang berketurunan Ireland-Serani/Eurasian, dan Beatrice Matilda Daly nee Martin, seorang bidan berketurunan Perancis-Serani/Eurasian. Nama tengah beliau sempena mengingati bandar kelahiran beliau, Medan. Beliau membesar di Tanah Melayu. Beliau mendapat latihan sebagai jururawat dan bidan di Singapura pada usia 21 tahun. Beliau berkahwin dengan Dr. Abdon Clement Kathigasu, seorang doktor berketurunan Tamil Ceylon (sekarang Sri Lanka) pada 7 Januari 1919 di Gereja St John, Bukit Nanas, Kuala Lumpur. Mereka mengendalikan sebuah klinik di Brewster Road (sekarang Jalan Sultan Idris Shah), Ipoh, Perak selama 15 tahun. Beliau boleh bertutur bahasa Kantonis dengan baik. Beliau juga seorang Katolik dan vegetarian.[1]

Apabila Tanah Melayu dijajah oleh Jepun pada tahun 1942, mereka bersembunyi dan berpindah ke Pekan Papan, Perak , kira-kira 20 km di barat bandar Ipoh. Bandar ini ramai penduduk Cina yang bekerja sebagai pelombong dan peniaga. Tentera Jepun memburu penduduk Cina dan membunuh mereka lanjutan sejarah panjang di China. Mereka dikerah membina jambatan dan Landasan Keretapi Maut di sempadan Thailand-Myanmar. Tentera MPAJA memberi tentangan hebat terhadap kemaraan tentera di Jepun di Sungai Siput, Tanjung Malim, Slim River, Papan, Pusing, Gopeng dan lain-lain lokasi. Sybil dan suaminya mula memberikan bantuan perubatan dan maklumat kepada gerakan bawah tanah melalui rumah kedai dispensari Kathigasu di Pekan Papan, Perak. Mereka membuka semula klinik rahsia dan ramai membawa pesakit , tentera MPAJA yang cedera ke klinik ini untuk mendapatkan rawatan. Ketika itu terdapat 6000 pejuang gerila MPAJA menentang tentera Jepun.Ketika itu, Sekolah St Michael menjadi ibu pejabat polis tentera Jepun. Ramai pemimpin Cina telah dipancung tanpa bicara.

Pasangan itu ditangkap oleh tentera Jepun dan disiksa apabila kegiatan mereka membantu gerila anti Jepun terbongkar. Jepun tidak mengesyakkinya kerana dia bukan berbangsa Cina dan tentulah tidak boleh berbahasa Cina. Sybil tidak membocorkan nama-nama gerila MPAJA. Kukunya dicabut dan jarumm ditusuk di bawah kukunya. Kaki melecur kerana besi panas, dipukul dengan batang buluh dan siksaan rawatan air.Tulang belakangnya rosak, tulang patah dan rahang patah. Beliau disoal siasat kerana membantu gerila anti Jepun dan menyimpan radio. Siaran radio diperolehi menerusi gelombang pendek dengan kod 'Josephine' . Radio itu digunakan untuk mendapatkan maklumat dan rahsia semasa daripada Radio BBC. Kemudian disumbat ke Penjara Batu Gajah pada 1943 setelah Kempetai Jepun memberi maklumat tentang peranan beliau. Beliau terselamat dari perang dan Perang Dunia Kedua berakhir pada Ogos 1945. Selepas tiga minggu, Kapten David dari tentera British yang datang semula ke Tanah Melayu telah menemui semula beliau di Penjara Batu Gajah. Sybil dibebaskan dan dibawa semula ke Papan dan dihantar segera ke England dengan kapal terbang untuk menerima rawatan lanjut.[2]

Beliau meninggal dunia pada usia 49 tahun pada 4 Jun 1948 di Hospital Lanark, Scotland, Britain akibat septisemia disebabkan oleh luka lama pada rahang, akibat sepakan but Yoshimura, penyeksa beliau . Glasgow City Medical Center telah melakukan bedah siasat terhadap mayat beliau dan mendapati organ-organ dalamannya rosak teruk. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Lanark. Kemudian pada tahun 1949, jenazah beliau dibawa kembali ke Ipoh dan disemadikan di tanah perkuburan Roman Katolik bersebelahan Gereja St. Michael yang bertentangan dengan Main Convent of the Holy Infant Jesus (sekarang SMK Convent) di Brewster Road (sekarang Jalan Sultan Idris Shah), Ipoh. Sebelum meninggal dunia, beliau telah menerima Pingat King George IV di Istana Buckingham pada Jun 1948 kerana jasa-jasanya. Setakat ini tidak ada wanita di Malaysia yang memberi perkhidmatan perubatan dan kesihatan sepertinya. Hari ini, rumah kedai di 74, Jalan Utama, Papan, berfungsi sebagai Rumah Peringatan Sybil berhampiran Rumah Raja Bilah.